Saturday, October 23, 2010

Berbuat Baik Kepada Ibu dan Ayah (cerita seorang sahabat )


Syukur seorang sahabat yg dah lama tak bertemu, akhirnya kujumpa di Sabah dan beliau bercerita kepadaku pengalamannya membawa bapanya yang lumpuh dan ibunya yang uzur menunaikan umrah beberapa tahun lalu. Kukongsikan cerita ini di sini buat rakan2 FB kutersayang sebagai iktibar buat kita semua.

Kawanku memberitahu dia dan suaminya tahu memang satu tugas berat membawa ayah yg lumpuh dan ibu yg uzur utk menunaikan umrah. Namun semua itu digagahinya jua kerana ingin menyampaikan hajat keduanya. Sejak di Malaysia lagi kawanku dan suaminya telah memasang keazaman utk meletakkan dan mempermudahkan ibu dan ayahnya utk beribadat tambahan keduanya memakai wheelchair. Memang logik akalnya 'kedua ibu dan ayah' akan menjadi satu beban dan menyusahkan semasa di sana.

Namun Allah maha kuasa dan maha kaya, sepanjang mereka menunaikan umrah, segalanya Allah permudahkan dan sehingga semuanya dapat mengucup hajarul aswad, dapat sembahyang di Hijir Ismail, dapat bersembahyang berhampiran dengan kaabah dan sebagainya lagi. Sesungguhnya Allah mahu menunjukkan kebesarannya kalau kita berbuat baik kepada ibu bapa kita, Allah akan mempermudahkan, kata kawanku kepadaku.

Nyata sekali ujar beliau, sepanjang menunaikan umrah tersebut bukan ayah dan ibu yg menumpang dia dan suami malah mereka suami isteri yg menumpang dan mendapat kesenangan daripada ayah dan ibu mereka yg dalam keadaan uzur itu. Malah suaminya dan sekumpulan kawan2 lelaki yg mereka kenal di sana pun mendapat rezeki tempias daripada ayahnya dengan dibenarkan masuk ke makam rasulullah ketika petugas sedang membersihkan makam rasulullah. Subhanallah.

Beliau juga bercerita bagaimana sewaktu di Madinah, seorang lelaki Melayu Malaysia telah datang meminta izin ingin menyorong kerusi roda bapanya sambil berkata , " saya teringin sekali menolak kerusi roda ini kerana saya teringat pada ayah saya bila melihat pakcik. Saya sering datang mengerjakan umrah dan menaja orang-orang datang mengerjakan umrah, tapi saya tidak pernah terfikir untuk membawa bapa saya yg lumpuh menunaikan ibadah ini", ujar lelaki itu dengan nada sebak. Setelah beliau dibenarkan menyorong ayah, kawanku memberitahu wajahnya kembali ceria dan berseri-seri. " Saya akan bawa ayah saya yg lumpuh utk mengerjakan umrah, kenapa saya tidak pernah terfikir utk berbuat begitu, " katanya penuh keazaman.

Sepanjang menunaikan ibadah umrah dengan ayah dan ibu dalam keadaan mereka yg uzur, banyak perkara yg Allah permudahkan, kata kawanku. Pada masa yg sama, kawan saya memberitahu yg dia diajar erti 'sabar, bersabar dan kesabaran'. Di mana saja dia pergi, mereka dipermudahkan, diberi pertolongan dan keselesaan yg hanya Allah jua yg maha kaya berkemampuan mengaturkan semua itu, katanya.

Tak berapa lama selepas mereka kembali menunaikan ibadah umrah, tiba2 kawanku memberitahu beliau mendapat panggilan, ada pihak tertentu yang ingin menajanya utk menunaikan umrah. Maha suci Allah, kawanku sekali lagi menunaikan umrah atas rezeki yang datang bergolek. Sepanjang beliau di sana, airmatanya tak henti2 mengalir mengenangkan ayah dan ibunya, kerana mereka Allah memberi rezeki kepada beliau utk sekali lagi mengerjakan ibadat tanpa gangguan.

Sehingga kini beliau memberitahuku, beliau melayani ibu dan ayahnya dengan penuh kasih sayang, sentiasa menyediakan kehendak mereka, sentiasa menjaga dan mengambil hati mereka dan sekali-kali tidak pernah melukakan hati keduanya. Bercakap dengan keduanya dengan lembut, tidak pernah meninggi suara dan membantah serta sentiasa mendahulukan mereka dalam apa jua keadaan.

*** Sungguh aku terharu mendengar cerita kawanku ini. Ianya menjadi iktibar dan pengajaran kepadaku agar mempertingkatkan lagi kasih sayang dan layanan terhadap ayah dan ibuku. Kudoakan moga Allah memberikan ganjaran yg berlipat ganda kpdmu sahabatku atas kemuliaan hatimu itu. aminnn.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu sudah perintahkan, supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada usia tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan ‘uuh’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Israk ayat 23-24).