Sunday, April 10, 2011

Mckelate Dahulu Dan Sekarang

Masa terlalu pantas berlalu,membawa usia menuju ke garisannya bersama memori suka dan duka...teringat-ingat...



Myself@ UK 1995


Myself @ 1997



Myself 10 Feb 2002



Myself 2007


Myself 2008


Myself 2010



Myself 9 April 2011

Saturday, April 09, 2011

ANDAINYA AKU PERGI DULU...

“ Tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali beribadah (mengesakan ibadahnya) kepada-Ku, Aku tidak mengendaki rizki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak mengendaki supaya mereka memberi makan pada-Ku, Sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Pemberi rizki Yang mempunyai kekuatan Lagi Maha Sangat Kuat” (Adz Dzariat:56-58)

MCB

Semasa di MISSION STATEMENT & CHARACTER BUILDING (MCB) ESQ Training pada 19 dan 20 Mac 2011 di Kuching, Sarawak, aku sekali lagi diingatkan tentang sebab musabab kewujudan manusia dan makhluk ciptaan Allah seperti firman Allah dalam ayat di atas. Selepas berehat di kampong bersama ayah (abah) dan ibu (mek) selepas sakit pada 21 Feb 2011, hati rasa lega dan semangat pun pulih untuk meneruskan kehidupan. Kehadiran di MCB yang selama ini tertunda akhirnya dengan izin Allah, aku telah dipermudahkan Allah untuk hadir. Kehadiranku ke MCB membuat tubuhku terasa ringan, jiwaku terasa damai dan tenteram dan hidupku terasa amat bererti.

AYAT-AYAT CINTA

Ayat-ayat CINTA Allah menyentuh ke hatiku, membawa rasa keinsafan pada diriku dan mengembalikan aku kepada orbit sebenar kehidupan ini iaitu “pengabdian diri kepada yang maha Pencipta iaitu Allah”. Sungguh terasa diri kerdil dan hina bila ayat-ayat CINTA Allah dibacakan dan kisah-kisah/ cerita-cerita Nabi Junjungan Muhammad S.A.W , para nabi dan sahabat-sahabat dikongsikan. Sungguh besar perjuangan mereka menegakkan agamaMu ini Ya Allah. Mereka sanggup menerima segala celaan, siksaan dan terkorban dalam perjuangan dan pengabdian diri kepadaMu Ya Allah. Mereka yakin dan percaya dan tiada kesangsian terhadap rasulMu, Al-Quran dan syurga yang Kau janjikan.

Airmata mengalir tanpa dipinta, hati terusik dan jiwa ini tersentuh. Di saat itu terasa sekali bagaimana kehidupan dunia telah melekakan. Mata ini telah ditunjukkan dengan berbagai bukti sejak kecil lagi bahawa tiada yang kekal abadi. Nenekku Mok Mek (nenek sebelah abah), Mok Mek Nor (nenek sebelah mek) dan atuk kesayanganku Che Sulaiman( atuk sebelah abah) telah lama pergi menemuiMu Ya Allah. Begitu juga dengan bapa saudaraku Paksu Pin. Kemudian rakan di tingkatan 6, Jaslinda yang berkongsi tarikh lahir 4 Jan denganku juga telah pergi menemuiMu dalam satu kejadian di Johor. Terkini, sahabat dan juga kakak yang sangat kusayangi, Kak Faizah Abd Manan atau “Kak Faiz’ juga telah pergi menemuiMu Ya Allah pada 2 Januari 2011 yang lalu.




MATA MENJADI SAKSI


Setiap tahun sejak kecil, Kau telah tunjukkan padaku setiap kali bersembahyang di hari raya, aku yang dulunya di saf bahagian belakang kini sudah beransur-ansur ke bahagian hadapan. Dulunya orang-orang tua yang mendahului saf pertama atau di bahagian hadapan, namun kini mereka sudah tiada. Mek dan mak-mak saudaraku serta rakan-rakan seangkatan dan seusia mereka yang dulunya muda kini sudah tua. Mereka kini yang mengantikan tempat orang-orang tua yang sudah tiada itu dan sedikit masa lagi aku dan rakan-rakan seangkatanku akan mengambil alih tempat tersebut.

Mata ini menjadi saksi kejadian itu Ya Allah, mata ini juga masih dapat melihat wajah-wajah mereka yang sudah tiada itu. Kau telah menunjukkan betapa dunia ini adalah perhentian sementara, tiada yang kekal abadi di sini. Yang kekal abadi hanya diriMu Ya Allah yang maha berkuasa atas segalanya. Kau juga telah tunjukkan kekuasaanmu bila abah menjalani ‘bypass’ jantung pada tahun 2005. Lapan jam lebih menunggu di IJN sewaktu abah menjalani pembedahan dengan pesakit-pesakit sebelum abah, ada yang berjaya dan ada yang tidak berjaya. Namun dengan kekuasaanMu, abah selamat menjalani pembedahan dan walaupun sentiasa juga mendapat serangan jantung secara tiba-tiba beberapa kali selepas itu, namun dengan kasih sayang dan kuasaMu, aku adik-beradik masih dapat mencium tangan dan pipi abah, dapat memeluk dan bergurau senda dengan abah sehingga ke hari ini. Terima kasih Allah.







TAKDIR

Pada tahun 2007, dengan izinmu aku dipinjamkan ke UMK selama setahun 6 bulan oleh UNIMAS. Hadirku untuk membantu UMK dan untuk hidup dekat di sisi keluarga. Namun tidak kuketahui bahawa hadirku juga adalah sebahagian daripada ketentuanMu Ya Allah untuk menjadi ‘tiang semangat’ kepada ibuku yang mendapat kanser rahim dan dengan kuasaMu Ya Allah, Kau berikan telinga ini untuk mendengar berita sedih yang mek ‘positif kanser’ daripada doktor.

Kau takdirkan insan yang bernama Noorma, anak sulung daripada 6 beradik ini untuk menggalas tanggungjawab memberitahu mek@ibunya berita sedih ini. Walaupun hati sedih bagai dihiris namun aku tetap akur dengan kebesaran dan takdirMu Ya Allah. Biarlah aku yang menggalas berita ini dibahuku. Biarlah aku sebagai kakak yang tua mengambil tanggungjawab ini untuk memberitahu mek kerana aku tidak dapat bayangkan jika hal ini digalas oleh abah yang sudah sedia sakit atau digalas oleh adik-adikku yang lain kerana ‘kesedihan ini’ aku tidak mahu mereka menanggungnya. Sesungguhnya Engkau Ya Allah mentadbir alam ini dan kami hamba-hambaMu tunduk sujud kepadaMu. Begitulah bagaimana dengan kekuasaanMu, Kau izinkan aku yang bekerja jauh di UNIMAS, Sarawak untuk pulang berbakti kepada orang tua secara lebih dekat selama 1 tahun 6 bulan semasa bekerja di UMK Kelantan. Benarlah firmanMu:


“Tiada suatu musibah yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah, dan barang siapa yang beriman kepada Allah niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”(QS.AtTaghobun:11)

UMRAH

Aku juga teringat kembali pada tahun 1993 bila aku diizinkan untuk menjadi tetamuMu menunaikan umrah. Masih kuingat lagi semasa di Madinah dan Mekah , di semua tempat yang mustajab berdoa termasuk di Raudhah dan di Multazam, depan pintu kaabah dan di Hijir Ismail, hambaMu yang hina ini telah menadahkan tangan memohon kepadaMu agar dijodohkan dengan hamba Allah itu. Telah kusebut namanya berulang-ulang dengan cucuran airmata, agar dia menjadi jodohku. Namun, Kau telah memperlihatkan kepadaku bahawa Engkaulah yang mentakdirkan segala-galanya dan aku redha dengan segala takdirMu padaku.

Benarlah firmanMu Ya Allah:
"Mungkin kamu membenci sesuatu padahal itulah yang baik bagimu,dan mungkin kamu suka pada sesuatu padahal bahaya bagimu, dan Allah yang mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."(Surah Al-Baqarah:216)

DAHAGA
Lahir dalam agama Islam tetapi mendapat pendidikan sekular, kehidupan seharian dengan jasad Islam sedangkan roh Islamnya tidak terisi,aku tercari-cari...dahagakan bimbingan, tunjuk ajar dan segala-galanya membuatkan aku terasa serba kekurangan. Aku ingin mendapat ilmu pengetahuan tentang Islam secara mendalam bukan lagi setakat perkara-perkara asas yang diulang-ulang setiap kali. Yang biasa sangat kudengar. Persoalan ini sedikit sebanyak terjawab bila menyertai training ESQ. Padaku dengan SQ, hati terasa dekat...sangat dekat dengan yang maha pencipta. Sedikit demi sedikit noda-noda hitam yang begitu banyak melekat di hati terasa berkurangan. Kesedaran tinggi terhadap Allah dan malaikat menyaksikan setiap perbuatan mengangkat rasa maluku bila mahu berbuat apa saja. Bila terlalai atau tersasar, SQ yang ada padaku akan menarikku kembali ke orbit. Benarlah dalam MCB kita dingatkan jika kita jauh daripada orbit, hidup kita akan menjadi semakin berat,kita menjadi semakin lupa dan lalai...


MATA MELIHAT ALAM HATI MELIHAT TUHAN

Bila kita semakin dekat dengan orbit, hidup kita menjadi semakin ringan. Jiwa terasa damai dan tenteram. Kita menerima takdir dan ketentuan Allah dengan hati yang redha dan penuh kesyukuran. Kita sentiasa mendoakan diri sendiri,ayah ibu,adik beradik, kaum keluarga,sanak –saudara dan sahabat handai serta semua kaum muslimin dan muslimat. Kita tidak mudah menghukum bila melihat sesuatu tetapi akan terus cuba memperbaiki ataupun terus mendoakan agar pertolongan Allah datang dengan segera. Dengan gabungan IQ+EQ dan SQ yang diajar dalam ESQ “Mata dididik apabila melihat alam,hati melihat Tuhan” seperti mana yang dikatakan oleh Ulamak Tersohor Allahyarham Prof HAMKA yang sangat kukagumi. Kerana “hati melihat tuhan” airmataku tak henti mengalir sewaktu mengikuti MCB Training ESQ.

TERIMALAH
Terima kasih Ya Allah, walau dalam suka dan duka,dalam tawa dan nestapa, dalam susah dan senang kubersyukur dengan apa yang Kau anugerahkan kepadaku. Diri ini serba kekurangan, tiada apa yang kumiliki di dunia yang sementara ini. Semua milikMu Ya Allah. Nikmat yang kau berikan bila-bila masa sahaja boleh Kau ambil kembali. Semuanya adalah pinjam-pinjaman sahaja. Semoga ujian dan cabaran yang mendatang mendekatkan kami kepadaMu ya Allah. Kasihanilah kami Ya Allah, bimbingkanlah kami ke jalanMu, walau kami datang ke jalanMu dengan langkah yang perlahan, terimalah langkah-langkah kami ini Ya Allah. Andai kami tidak kuat dan semangat kami umpama “hangat-hangat tahi ayam”, bawalah kami kembali ke orbitMu Ya Allah. Jangan jadikan kami mudah berputus asa untuk berada di jalanmu yang benar.




PENYESALAN

Setiap detik dan saat kita sebagai manusia tidak akan lepas dari melakukan dosa,baik yang sengaja mahupun yang tidak sengaja. Moga kita semua cepat sedar dengan kesalahan atau dosa yang dilakukan. Moga ada insan-insan yang hampir dengan kita dapat menarik kita kembali ke orbit dan kita berdoa agar akan timbul rasa penyesalan,takut, tunduk pada diri kita dan kita bertaubat tidak mengulanginya lagi. Semoga daya tahan kita semakin kuat, menarik umpama magnet yang kuat menarik kita semakin dekat kepada kebaikan.Benarlah firmanMu Ya Allah:


“Dan (juga) orang-orang yg apabila mengerjakan perbuatan keji / menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka & siapa lagi yg dapat mengampuni dosa selain dari Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka & surga yg di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; & itulah sebaik-baik pahala orang-orang yg beramal.”2 (Ali Imran: 135-136)


Ya Allah, janganlah kami mudah terpesong dengan hasutan dan jemputan untuk berbuat kejahatan daripada mereka yang bersekutu dengan syaitan. Jadikan dalam hati kami sinar cahaya yang menyuluh kami kembali ke jalan kebaikan apabila kami tersesat atau tersalah jalan seperti firman-firmanMu:


“Sesungguhnya orang-orang yg bertaqwa bila mereka ditimpa was-was dari setan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya.”(Al-A’raf: 201)
“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yg bertaubat & orang-orang yg menyucikan diri.” (Al-Baqarah: 222)

“Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Al-Baqarah: 37)
“Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya.” (At-Taubah: 1 1 8 )

TERINGAT KEMATIAN



“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah pahala-pahalamu disempurnakan, barangsiapa yang diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga maka sesungguhnya dia telah beruntung. Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Ali-Imran : 185).

Ada ketikanya aku teringat akan kematian, bagaimana jika kematian datang menjemput saat ini. Dengan bekalan ibadat , amalan kebajikan dan pahala yang sedikit. Bagaimanakah nanti bila berhadapan denganMu ya Allah...teringat akan kesakitan sakaratulmaut, azab dan siksa kubur serta ngerinya keadaan di neraka yang selalu dibaca dan didengari. Ya Allah,jauhkan kami daripada semua itu Ya Allah, jauhkan kami daripada sakitnya sakaratul maut,azab dan siksa di alam kubur dan jauhkan kami daripada azab nerakaMu.

BERPANTANG MAUT SEELUM AJAL

“ …Maka apabila ajal mereka tiba, mereka tidak akan mampu meminta kelewatan walau sesaat, atau mempercepatkannya” (Surah An-Nahl ayat 61.)

Terima kasih Ya Allah kerana telah memanjangkan usiaku setelah menempuh ujian-ujianMu.Kali pertama pada tahun 2003 apabila demam dan tersalah makan ubat tidor. Aku sepatutnya menelan ubat stiroid yg dierikan oleh doktor tetapi tertelan ubat tidur kerana dua-dua kelihatan serupa. Aku tidur daripada maghrib sehingga masghrib keesokkan harinya. Suami pula tidak mengejutku kerana menyangka yang aku demam dan sedang rehat. Mujurlah mak mertuaku menelefon dan terkejut bila suamiku memberitahu yang aku demam dan tidak bangun daripada semalam. Ibu mertuaku memarahi suamiku dan berkata."mana ada orang tidur dan tak bangun dalam masa 24jam",.Itu yang membuatkan suamiku menaruh syak dan kemudianya melihat sampul ubat tidur yang kosong. Terus dia mengejutkan aku. Aku kemudian diberitahu yang dia membawaku ke kereta,pergi berjumpa doktor dan seterusnya dari Klinik Doktor tersebut ambulan datang membawaku ke hospital dan aku ditempatkan di wad KECEMASAN.




Bila keluar daripada wad,doktor memberitahuku yang kalau aku lambat dibawa ke hospital,aku mungkin telah pergi buat selama-lamanya. Maha besar dan maha suciMu Ya Allah,keranaMu aku masih bernafas hingga kini,meniti hari-hari dengan penuh kesyukuran termasuk meraikan kehadiran hadiah istimewa seorang cahaya mata "Muhammad Fadly Sazlishah" yang lahir pada tahun 2006. Dia yang kau hadirkan dalam hidupku membawa bahagia dan menjadikan hidup ini sangat indah dan penuh bermakna.

Dengan izin dan rahmatMu jua, aku melepasi ujian serangan jantung pada 21 Feb 2011. (Cerita lanjut di sini:http://mckelate.blogspot.com/2011/02/ujian-allah.html)




SYURGA
Syurgamu yang kami impikan Ya Allah. Masukkan kami dalam golongan hamba-hambaMu yang beriman. Hidup dan matikanlah kami dalam iman. Ampunilah dosa kami, dosa kedua ibubapa kami, adik beradik kami, saudara-mara kami dan seluruh kaum muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup ataupun yang sudah pergi.
Kau maha berkuasa dan memberi keampunan. Ampunilah kami Ya Allah. Maha benar firmanMu:


"Mahasuci Allah Yang di dalam genggaman
kekuasaan-Nya seluruh kerajaan, dan Dia Mahakuasa
atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan
hidup untuk menguji kamu siapakah di antara kamu
yang paling baik amalnya, dan sesungguhnya Dia
Mahamulia lagi Maha Pengampun" (QS Al-Mulk [67]:
1-2).

AMPUNI KAMI

Ya Allah ampunilah kami yang banyak melakukan dosa ini.
"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk. Kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau, karena sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi (karunia) “ (QS: Ali-Imran:8)

REDHA
Ya Allah, semoga kami redha dengan ujianMu dan semakin dekat denganMu dalam menerima ujianMu:
“Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kamipun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa.” (al-an’am: 44)

MAAFKAN KAMI

“Ya Tuhan kami, janganlah engkau hukum kami jika kami lupa atau kami bersalah. Ya Tuhan kami, janganlah engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. engkau Penolong kami, maka tolonglah kami ” (al-Baqarah: 286)




PERMUDAHKAN KAMI

Ya Allah, permudahkan kami di padang Masyar dan sewaktu meniti siratulmustakim. Satukan kami dan keluarga kami bersama hamba-hambamu yang beriman dan masukkan kami ke syurgaMu Ya Allah kerana kami tidak dapat bertahan dengan panas terik matahari apatah lagi jika berhadapan dengan neraka Ya Allah. Ya Allah berkatilah usia kami Ya Allah dan semoga hari-hari kami dibumiMu ini adalah merupakan hari-hari kami beribadah kepadaMu. Amin...amin...amin

Mckelate April 2011