Friday, May 26, 2006

Abahku Sayang III



Kami sekeluarga menarik nafas lega apabila abah semakin beransur pulih. Mek adalah orang yang paling tabah dan kuat semangat sepanjang abah dalam rawatan rapi. Beliau langsung tidak menitiskan airmata. Wajahnya penuh ketenangan dan kepercayaan kepada kuasa Allah yang maha kuasa. Hanya sewaktu abah baru keluar dari bilik bedah selepas 8 jam dan dibawa ke wad ICU, airmatanya mengalir melihat keadaan abah. Setiap kali bersembahyang mek akan sentiasa menadahkan tangan penuh rendah diri memohon kepada Allah yang maha pengasih dan penyayang agar menyelamatkan abah dan memberi kami ruang untuk bernaung kasih sayang bersama abah.

Keadaan abah selepas dibedah umpama budak kecil, makan bersuap, baju dipakai, mandi pula dimandikan, ketandas dipapah dan sebagainya. Beliau sendiri tidak sabar untuk cepat baik dan balik ke Kota Bharu. Rindunya pada rumah dan kampung halaman bukan kepalang namun apakan daya apatah lagi pada waktu itu tidak kuat untuk melangkah, hanya dapat menapak selangkah dua sahaja. Mujurlah ada mek yang setia disisi abah dan juga anak-anak yang sentiasa datang menemani.

"Sebuah jambangan bunga sebagai tanda kasih sayang dan menghargai semangat dan kekuatan yang ada pada abah, kasih sayang...mek & anak-anak"





Pengalaman di IJN penuh bermakna dengan doktor-doktor pakar yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa, jururawat-jururawat yang komited dan bertugas tanpa mengenal penat dan jemu serta keadaan persekitaran wad yang bersih sungguh kondusif untuk pesakit seperti abah. Abah berasa sangat selesa dengan rawatan dan layanan yang diberikan kepadanya.







Pengalaman dan kenangan di IJN memang akan segar mekar dalam kenangan. Syukur Allah memanjangkan usia abah untuk memberikan kasih sayang kepada isteri, anak-anak , cucu dan keluarga. Moga Allah sentiasa merahmati dan memberkati abah dan keluarga.

Kasihnya ibu membawa ke syurga

Kasih ayah sepanjang masa

Kasih anak sepenuh jiwa dan raga


Hargailah kehidupan ini dan berilah sepenuh kasih sayang pada kedua ibubapa kita sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang mereka kepada kita sejak kecil




Cerita abah Part 1

Abah kusayang Part 1

Thursday, May 25, 2006

Abahku Sayang II


Selama 8 jam abah di dewan bedah. Kami menunggu di bilik menunggu penuh dengan rasa resah dan gelisah. Mek menjadikan surah yasin sebagai teman setia. Selama menunggu kami berdoa moga abah selamat dibedah dengan jayanya dan akan pulih seperti sediakala.
Lain-lain keluarga yang menunggu sama menjadi kenalan. Sama-sama bertanya khabar, sama-sama berdoa moga orang yang disayang akan keluar dari bilik bedah atau wad ICU dalam keadaan selamat.
Bila tiba waktu berbuka, aku,faizal@abe dan Idaa berangkat balik ke Subang Jaya untuk berbuka, mandi dan akan datang semula kemudian. Mek dan Elly akan menunggu sehingga abah keluar.

Dalam perjalanan pulang, aku mendapat panggilan yang abah telah keluar dari bilik bedah dan kini ditempatkan di ICU. Doktor memaklumkan keadaan abah agak tidak stabil kerana berlaku pendarahan. Elly dan mek di IJN hanya mampu berpelukan dan menitiskan airmata melihat keadaan abah dengan bantuan alat pernafasan dan wayar yang berserabut di sana sini.
Sewaktu kami tiba selepas berbuka, kami dibenarkan menjengok abah di ICU. Abah masih lagi tidak sedarkan diri. Keadaan abah dengan mesin bantuan pernafasan dan penuh dengan wayar membuatkan aku rasa insaf dan menghargai nyawa yg dikurniakan tuhan kepadaku. Airmataku menitis menatap wajah abah. Doaku bersama mek dan adik-adikku moga abah segera sembuh dan mampu tersenyum, berbual dan berbicara seperti biasa. Walaupun hanya seketika penantian menanti saat-saat abah membuka mata dan bertentang mata dengan kami serasa seperti bertahun lamanya.



Abah beransur-ansur pulih dan dipindahkan dari ICU ke HDU sebelum ke Wad Bunga Raya untuk pemerhatian.




Cerita Selanjutnya:

Abah kusayang Part 3

Abahku Sayang




Tahun 2005, kami sekeluarga sungguh terkejut bila mendapat tahu abah mendapat sakit jantung yang serius dan memerlukan pembedahan bypass
Kami sekeluarga berasa sangat risau dengan kesihatan abah. Mujurlah dengan bantuan adikku Yee dan isterinya Yatie, abah segera mendapat rawatan di Institut Jantung Negara(IJN)

Pada 4 Oktober aku menunggu abah,
mek@ibuku, adikku Elly dan Faizal di KLIA. Mereka terbang dari Kota Bharu, Kelantan bersama abah untuk membawa abah ke IJN dimana abah akan menjalani pembedahan

Sambil menunggu mereka tiba, adikku Idaa pula sampai dan kami berdua menanti ketibaan keluarga dari KB. Masing-masing tidak menyangka yang abah rupanya mempunyai masalah jantung.


Tidak berapa lama kemudian abah dan keluargaku tiba. Wajah mereka kelihatan tenang. Semua beg pakaian dibawa adikku idaa ke rumahnya di Subang Jaya manakala beg pakaian kecil abah dibawa bersama ke IJN. Kami menaiki teksi ke sana.






Tiba di IJN selepas pendaftaran abah terus dimasukkan ke wad dan terus menjalani pemeriksaan dan ditunjukkan demonstrasi cara-cara menjalankan senaman selepas dibedah. Petangnya abah berjumpa dengan doktor pakar bedah dan pakar bius. Abah diterangkan mengenai pembedahan yang bakal dijalani dan risiko yang terpaksa diterima termasuk membawa maut. Aku yang berada disisi abah sewaktu mendengar maklumat tersebut terasa begitu takut dan berdebar-debar. Namun abahku lihat menerimanya dengan tenang dan cukup bersedia. Beliau menerima hakikat yang beliau akan menjalani pembedahan bypass keesokkan harinya.

Malamnya kami meninggalkan mek menjaga abah di IJN dan kami tiba selepas subuh keesokan harinya. Kami bertolak ke IJN dari Subang Jaya sebaik sahaja selesai bersahur. Tiba di hospital, kami terus menuju ke bilik abah. Abah sudah baru saja mandi dan sudah bersedia untuk dibawa ke bilik bedah. Mek nampak tenang. Begitu juga abah. Melihat kepada kekuatan semangat yang ada pada abah dan mek,kami adik beradikpun semuanya terpaksa bertenang. Hari itu perasaan kami tidak dapat dijelaskan dengan perkataan. Sewaktu menghantar abah ke dewan bedah, suasana jadi sunyi sepi. Tiada kata, tiada senyuman,hanya di dalam hati kami berdoa moga-moga abah selamat.

Tiba di dewan bedah, kami hanya bersalam. Abah memang berpesan dia tidak mahu dipeluk atau dicium kerana dia tidak mahu masuk ke dewan bedah dengan rasa sebak atau sedih. Sebelum itu abah sudah berpesan yang dia memaafkan segala kesalahan dan dosa isteri dan anak-anaknya. Sewaktu abah ditolak masuk melalui pintu bilik bedah, abah memandang kami seorang demi seorang, hatiku terasa hiba. Adik idaa mula mengalirkan airmata. Aku pula hanya menahan sebak di dada. Rasanya tidak sanggup aku menerima segala kemungkinan yang bakal tiba. Aku hanya pasrah dan berserah kepada Allah dan redha dengan segala ketentuannya. Kami iringi abah dengan doa moga pertemuan di hadapan bilik bedah itu bukan pertemuan yang terakhir...



Cerita Selanjutnya: