Thursday, May 25, 2006

Abahku Sayang




Tahun 2005, kami sekeluarga sungguh terkejut bila mendapat tahu abah mendapat sakit jantung yang serius dan memerlukan pembedahan bypass
Kami sekeluarga berasa sangat risau dengan kesihatan abah. Mujurlah dengan bantuan adikku Yee dan isterinya Yatie, abah segera mendapat rawatan di Institut Jantung Negara(IJN)

Pada 4 Oktober aku menunggu abah,
mek@ibuku, adikku Elly dan Faizal di KLIA. Mereka terbang dari Kota Bharu, Kelantan bersama abah untuk membawa abah ke IJN dimana abah akan menjalani pembedahan

Sambil menunggu mereka tiba, adikku Idaa pula sampai dan kami berdua menanti ketibaan keluarga dari KB. Masing-masing tidak menyangka yang abah rupanya mempunyai masalah jantung.


Tidak berapa lama kemudian abah dan keluargaku tiba. Wajah mereka kelihatan tenang. Semua beg pakaian dibawa adikku idaa ke rumahnya di Subang Jaya manakala beg pakaian kecil abah dibawa bersama ke IJN. Kami menaiki teksi ke sana.






Tiba di IJN selepas pendaftaran abah terus dimasukkan ke wad dan terus menjalani pemeriksaan dan ditunjukkan demonstrasi cara-cara menjalankan senaman selepas dibedah. Petangnya abah berjumpa dengan doktor pakar bedah dan pakar bius. Abah diterangkan mengenai pembedahan yang bakal dijalani dan risiko yang terpaksa diterima termasuk membawa maut. Aku yang berada disisi abah sewaktu mendengar maklumat tersebut terasa begitu takut dan berdebar-debar. Namun abahku lihat menerimanya dengan tenang dan cukup bersedia. Beliau menerima hakikat yang beliau akan menjalani pembedahan bypass keesokkan harinya.

Malamnya kami meninggalkan mek menjaga abah di IJN dan kami tiba selepas subuh keesokan harinya. Kami bertolak ke IJN dari Subang Jaya sebaik sahaja selesai bersahur. Tiba di hospital, kami terus menuju ke bilik abah. Abah sudah baru saja mandi dan sudah bersedia untuk dibawa ke bilik bedah. Mek nampak tenang. Begitu juga abah. Melihat kepada kekuatan semangat yang ada pada abah dan mek,kami adik beradikpun semuanya terpaksa bertenang. Hari itu perasaan kami tidak dapat dijelaskan dengan perkataan. Sewaktu menghantar abah ke dewan bedah, suasana jadi sunyi sepi. Tiada kata, tiada senyuman,hanya di dalam hati kami berdoa moga-moga abah selamat.

Tiba di dewan bedah, kami hanya bersalam. Abah memang berpesan dia tidak mahu dipeluk atau dicium kerana dia tidak mahu masuk ke dewan bedah dengan rasa sebak atau sedih. Sebelum itu abah sudah berpesan yang dia memaafkan segala kesalahan dan dosa isteri dan anak-anaknya. Sewaktu abah ditolak masuk melalui pintu bilik bedah, abah memandang kami seorang demi seorang, hatiku terasa hiba. Adik idaa mula mengalirkan airmata. Aku pula hanya menahan sebak di dada. Rasanya tidak sanggup aku menerima segala kemungkinan yang bakal tiba. Aku hanya pasrah dan berserah kepada Allah dan redha dengan segala ketentuannya. Kami iringi abah dengan doa moga pertemuan di hadapan bilik bedah itu bukan pertemuan yang terakhir...



Cerita Selanjutnya:

No comments: