Friday, May 26, 2006

Abahku Sayang III



Kami sekeluarga menarik nafas lega apabila abah semakin beransur pulih. Mek adalah orang yang paling tabah dan kuat semangat sepanjang abah dalam rawatan rapi. Beliau langsung tidak menitiskan airmata. Wajahnya penuh ketenangan dan kepercayaan kepada kuasa Allah yang maha kuasa. Hanya sewaktu abah baru keluar dari bilik bedah selepas 8 jam dan dibawa ke wad ICU, airmatanya mengalir melihat keadaan abah. Setiap kali bersembahyang mek akan sentiasa menadahkan tangan penuh rendah diri memohon kepada Allah yang maha pengasih dan penyayang agar menyelamatkan abah dan memberi kami ruang untuk bernaung kasih sayang bersama abah.

Keadaan abah selepas dibedah umpama budak kecil, makan bersuap, baju dipakai, mandi pula dimandikan, ketandas dipapah dan sebagainya. Beliau sendiri tidak sabar untuk cepat baik dan balik ke Kota Bharu. Rindunya pada rumah dan kampung halaman bukan kepalang namun apakan daya apatah lagi pada waktu itu tidak kuat untuk melangkah, hanya dapat menapak selangkah dua sahaja. Mujurlah ada mek yang setia disisi abah dan juga anak-anak yang sentiasa datang menemani.

"Sebuah jambangan bunga sebagai tanda kasih sayang dan menghargai semangat dan kekuatan yang ada pada abah, kasih sayang...mek & anak-anak"





Pengalaman di IJN penuh bermakna dengan doktor-doktor pakar yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa, jururawat-jururawat yang komited dan bertugas tanpa mengenal penat dan jemu serta keadaan persekitaran wad yang bersih sungguh kondusif untuk pesakit seperti abah. Abah berasa sangat selesa dengan rawatan dan layanan yang diberikan kepadanya.







Pengalaman dan kenangan di IJN memang akan segar mekar dalam kenangan. Syukur Allah memanjangkan usia abah untuk memberikan kasih sayang kepada isteri, anak-anak , cucu dan keluarga. Moga Allah sentiasa merahmati dan memberkati abah dan keluarga.

Kasihnya ibu membawa ke syurga

Kasih ayah sepanjang masa

Kasih anak sepenuh jiwa dan raga


Hargailah kehidupan ini dan berilah sepenuh kasih sayang pada kedua ibubapa kita sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang mereka kepada kita sejak kecil




Cerita abah Part 1

Abah kusayang Part 1

No comments: