Monday, May 04, 2009

Selamat Hari Ibu, Kaulah Ratu Hatiku


Orangnya kecil sahaja namun jiwanya besar. Itulah ibu kesayanganku Rukiah Bt Dolah. Dalam usianya yang masih kecil ibuku sudah menjadi anak yatim dan kerana kesusahan keluarga beliau dibesarkan oleh neneknya di kampong. Dalam usia 14 tahun ibuku telah merasa erti hidup sebagai isteri dan menantu orang,tinggal bersama mertua setelah berkahwin dengan ayahku. Dalam usianya 17 tahun, beliau selamat melahirkan diriku ini.

Aku masih ingat tatkala aku membelikan hadiah sebuah periuk nasi gas yg boleh digunakan semasa kenduri beberapa tahun yg lampau, wajahnya tampak begitu gembira dan riang. Beliau begitu gembira sekali kerana hajatnya selama ini tercapai sudah. Aku juga sebagai anak rasa gembira dapat menggembirakan hati ibuku. Namun tiba-tiba air mata berlinang di pipinya. Dia menangis. Aku jadi terkejut, lantasku tanyakan dia kenapa tiba-tiba menangis. Ibuku dalam sedu-sedan berkata, dia menangis kerana terlalu gembira. Dia terkenang zaman kanak-kanaknya yg penuh kepayahan dan kesusahan, menumpang manja dengan nenek, tidak pernah dapat apa yg dihajati hinggakan anak patung mainan pun terpaksa dibuat sendiri dengan kain batek. Sedangkan ibu berkata, kini terasa semua benda yg dihajati dengan mudah tertunai oleh suami dan anak-anaknya. Begitulah kenangan ibuku terhadap kisah silamnya sebagai pengajaran kepada ku dan anak-anaknya untuk belajar mengenal dan menilai erti syukur dengan pemberian dan nikmat Ilahi.

Sewaktu abah bergelut selama 8 jam di bilik bedah pada tahun 2005, kerana melakukan pintasan jantung di Institut Jantung Negara, ibu dengan tabah sentiasa bertemankan quran, sentiasa berdoa dengan penuh ketabahan agar abah selamat. Ibulah yg menjadi kekuatan kami adik beradik dalam penantian yang terasa begitu lama penuh dengan harapan agar abah selamat. Tuhan mendengar dan memakbulkan doa ibuku dan kami sekeluarga, sehingga kini Allah masih memelihara abah yang masih bersama kami. Bersyukurlah ibu kerana masih lagi dapat bermanja dengan abah sebagai suami dan bersyukur juga kami ke hadrat Ilahi dapat memeluk, bergurau senda dan berkasih sayang dengan abah sehingga kini.

Tahun 2008, Allah menguji ibuku lagi, tatkala aku mendapat kepastian dari doktor yang ibuku mengidah barah pangkal rahim, dengan penuh ketabahan dan dengan penuh kekuatan yang cuba kulahirkan, perlahan-lahan kuberitahu ibuku mengenai barah yg dihidapinya. Ibu terdiam dan airmatanya berguguran. Ingin kupeluk dan kurangkul ibuku saat itu tetapi aku tahankan diriku kerana aku takut aku akan jadi lemah dan tidak dapat menjadi benteng kekuatan untuk ibuku saat itu.

Setelah airmata berguguran, ayat yang pertama yg keluar dari mulut ibuku ialah jangan beritahu abah,rahsiakan dari abah. Saat yg paling getir dalam hidup seseorang, ibuku sebagai seorang isteri yang setia dan penyayang masih lagi meletakkan suaminya di tahap yang utama. Dia tidak mahu abah mengetahui keadaan sakitnya kerana tidak mahu abah akan risau dan berduka kerananya. Itulah ibuku, jiwa dan semangat juangnya yg kental untuk meneruskan kehidupan, doanya yang tidak putus-putus ke hadrat Ilahi agar sisa-sisa usianya diberkati dan penuh bermakna. Semoga Allah mengasihanimu ibuku dan mempermudahkan kehidupanmu dan membelamu sebagaimana kau membela kami dari kecil sehingga kami dewasa. Jasamu tidak ternilai, dan akan abadi selamanya.

Selamat Hari Ibu, Aku sayang padamu

No comments: