Tuesday, September 01, 2009

SATU HARI DI HARI RAYA


Khas buat adik-adikku yang masih kecil dan tidak mengerti waktu itu:

Adik-adikku, satu hari di Hari Raya ketika diriku masih dibangku sekolah rendah dan dirimu adik-adikku masih kecil, kita sekeluarga hidup merantau, jauh dari bumi Kelantan kerana mengikut abah bertugas. Setiap tahun menjelang ramadan dan hari raya, kita jarang dapat balik beraya di kampong bersama atok dan nenek serta keluarga. Boleh dikatakan tiga atau 4 tahun sekali baru kita balik beraya di kampong. Hati kakak selalu bertanya mengapa begitu, jawapan dari mek ialah abah tidak dapat cuti dan tidak cukup duit untuk balik beraya.

Dalam fikiran kakak pada waktu itu, tak mengapalah jika tidak balik. Pendapatan keluarga kita banyak bergantung kepada abah kerana mek suri rumah. Pada ketika itu, kakak rasa tak beraya di kampong pun tak mengapa kerana hidup di kem, sangat meriah berhari raya bersama kawan-kawan, berkunjung dari rumah ke rumah, selain dapat duit raya , dapat juga makan juadah raya yang enak dan lazat. Namun, setiap tahun di pagi raya Mek akan menangis dan bila kakak bertanya, mek selalu menjawb dia rindu pada ibu, adik beradik dan sanak saudara di kampong memandangkan mek anak yatim kerana ayahnya sudah meninggal sejak dia kecil lagi. Begitulah adik-adikku, kita jarang balik beraya dan hanya balik sekali sekala bila cuti sekolah sahaja.Itupun selang beberapa tahun, walaupun kakak merasakan jarak perjalanan dari KL ke Kota Bharu tidaklah jauh.

Kakak teringat dik, satu ketika, mek dan abah mendapat berita dari kampong atok Sulaiman sakit berat. Ketika itu bulan Ramadhan dan menjelang hari raya. Abah mulanya hanya mahu pulang seorang diri menziarah ayahnya tetapi kemudian berubah fikiran. Abah membawa kita sekeluarga pulang, kakak masih ingat kita semua pulang menaikki bas. Hati kakak sungguh gembira kerana dapat balik kampong. Mek dan abah bagaimanapun berwajah suram kerana keadaan atok Sulaiman yang sakit berat dan menurut mek, pesanan dari nenek@ Tok Mek pada abah ialah "pulanglah, bawak isteri dan anak-anak sekali, jangan menyesal di kemudian hari". Kita balik kampong dik, setelah beberapa tahun tidak balik dan kakak masih ingat betapa gembiranya kita semua membilang saat dan ketika untuk sampai di Kota Bharu menjelang paginya.

Kita Sampai di Kota Bharu pada waktu subuh dan dengan menaikki kereta prebet sapu, kita sampai di halaman rumah Tok Mek dan Tok Sulaiman. Mek Besar, Moksu Mesah, Pak Pin, Noh dan Pakcu yg tinggal berdekat dengan rumah Tok Mek dan Tok Sulaiman menyambut ketibaan kita dengan gembira. Masing-masing bersalam dan air mata mek berguguran. Mungkin sedih dan hiba yg kita pulang dalam keadaan Tok Sulaiman yg sakit berat.

Abah memberi salam dan naik ke rumah. Di depan ruang tamu kelihatan atok Sulaiman terbaring di tilam. Abah terus ke sisinya dan bersalam, atok Sulaiman menangis teresak-esak, abah dan mek juga menangis. Kakak masih ingat, kita semua hanya menyaksikan dalam keadaan terpingga-pingga. Mungkin kita tidak memahami situasi pada waktu itu.

Tok Mek tidak kelihatan. Tiba-tiba kakak terdengar suara tangisan yang kuat di dapor. Abah dan mek bergegas mendengar tangisan dari Tok Mek, abah dan mek cuba bersalam dengan Tok Mek tetapi orang tua itu tidak menyambut. Tok Mek duduk di tangga dapor sambil menekup mukanya. "Mengapa balik... mengapa balik... tak payah balik... biar mok (tok mek membahasakan dirinya Mok ) dan cek (Tok Sulaiman) kat kampong ni... biar kami sakit sendiri... biar kami payah sendiri', Dia berkata dalam sedu sedan. " Cek dah lama terlantar, sekarang baru nak balik?" soalnya dalam tangisan. Mek menangis...abahpun menangis... " Janganlah macam tu mok, yang penting kita dah balik ni..." jawab abah dengan suara yg hiba memohon pengertian.

Kita semua dik, menyaksikan adegan tersebut di depan mata kita. Kakak cuba mencari makna di sebalik kejadian ini manakala dirimu adik-adikku mungkin tidak faham langsung malah tidak mengingati cerita ini kerana dirimu semua masih kecil dan mungkin dilla juga belum lahir lagi waktu itu.

Tok Sulaiman beransur baik menjelang raya, umurnya masih panjang dan dapat bersama kita sehingga abah pencen pada tahun 1987. Malah arwah Mok@ Tok Mek yang pergi dulu menyahut seruan Ilahi pada tahun 1996. Tok Sulaiman menyusul menemui Ilahil dua tiga tahun selepas itu.

Kini bila kakak teringat dan mengimbau kenangan itu, kakak rasa mungkin itulah penyebab kenapa kakak sentiasa ingin balik kampong terutama untuk berpuasa dan menyambut hari raya bersama keluarga. Kakak rasa satu kepuasan dan kebahagiaan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata walaupun kakak tahu kakak kini sudah ada keluarga sendiri. Hidup di perantauan menyebabkan kakak sangat menghargai saat-saat indah di kampong kita dan di kampong mertua bersama mek dan abah, adik-adik serta sanak saudara.

Al-fatihah untuk Tok Mek dan Tok Sulaiman

Mok Mekku Sayang


Tok Sulaiman Ku Sayang




"Pulanglah perantau berhari raya bersama ayah ibu, adik beradik dan saudara mara di kampong"

No comments: