Tuesday, December 13, 2011

Pesanan Ustaz Abdul Aziz Ismail Nuh



KEMANISAN KUASA IMAN

Kita bangkit meredah belukar tajam yang pedihnya sampai ke dasar hati demi meninggalkan segala tipudaya syahwat dan keghairahan nafsu. Kita memilih untuk menelan kepahitan kerana janji kemanisan yang ditawarkan oleh Allah . Alangkah hebatnya KUASA IMAN jika ia hidup pada diri setiap insan. Kepahitan bertukar menjadi manisan, kesusahan beralih menjadi kesenangan dan kemurungan hati berganti gembira. Semuanya kerana kita memilih JALAN ALLAH untuk dilalui. Kerana tangisan pada jalan Allah bermakna kegembiraan yang terlalu hebat. Sebaliknya tangisan di jalan kekufuran adalah kehancuran yang menjunamkan diri ke jurang kehancuran!

Kehidupan ini penuh dengan keajaiban, dan kita adalah sebahagian dari keajaiban dunia ini. Rasa syukur kita sering hilang dan terbenam pada kehidupan sehari hari kita yang sering menyebalkan. Kehidupan kita menyebalkan, mungkin kerana kita melihatnya sebagai sesuatu yang menyebalkan. Kita boleh mengubahnya dan membuat kehidupan kita menjadi lebih menyenangkan dan menyegarkan. Bukan dengan bekerja 24 jam sehari, tetapi dengan menyedari bahwa rasa syukur kita dapat membuat kita lebih bahagia.Sikap berterimakasih dan bersyukur akan kehidupan ini terhadap hal hal kecil yang terjadi pada diri kita akan membuat kita lebih sedar akan kehidupan dan membuat kita merasakan “kekayaan” yang kita miliki.



HATI-HATI DENGAN RASA PUAS &BANGGA


Berhati-hati dengan rasa puas dan bangga. Amal boleh menyebabkan seseorang takbur dan sombong. Pandai menilai dan mengaibkan orang lain kerana kononnya ilmu dan amal yang dilakukannya lebih baik daripada orang lain. Selepas itu dia berasa berpuas hati dan tidak menemukan sebarang kecacatan dalam amalnya, berasa diri paling benar, paling tinggi imannya. Maka lahirlah manusia yang terlalu yakin dengan kekuatan ilmu dan ibadatnya. Dia lupa siapakah sesungguhnya yang mencampakkan hidayah ke dalam hatinya, menggerakkan tubuh badannya untuk sujud, menuliskan catatan takdirnya hari ini, esok dan di penghujung hidupnya?



Allah berfirman : "Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Tuhan semesta alam." (Surah al-Takwir, ayat 29). Di sini kita boleh melihat belitan syaitan yang begitu halus merosakkan amal ibadat seorang hamba.
Allah berfirman lagi : "Jika tidaklah kerana kurniaan Allah nescaya tidak seorang pun daripada kamu bersih selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya." (Surah Al-Nuur, ayat 21)






JANGAN JADI MANGSA IBLIS


Iblis amat memahami sikap dan tingkah laku mangsanya. Setiap mangsa telah disediakannya manual dan kaedah untuk membelit dan menjerumuskan mereka tatkala mereka melencong dari jalan Allah. Bagi ahli ibadah, Iblis menjerumuskan para abid melalui pelbagai pendekatan. Belitan iblis dimulai dengan sang abid memandang tinggi pada dirinya sendiri dan merendahkan amal orang lain. Kemudian diwujudkannya rasa puas dengan amal yang dilakukan dengan ilmu yang sedikit, sedangkan ilmu yang sahih dan mendalam adalah jaminan selamat daripada tipudaya iblis. Setelah itu iblis memesongkan kefahaman bahawa ibadah adalah untuk pahala dan dengan pahala itu sang abid merasa tidak mengapa jika melakukan dosa-dosa kecil yang akhirnya terjerumuslah dia ke dalam dosa besar. Selain itu ibadat yang dilakukan menafikan hak diri dan keluarga serta melahirkan peribadi yang kasar dan cenderung menyalahkan orang lain yang tidak sefaham dengannya!


HATI YANG REDHA


Hati yang bersinar ada pada wajah yang redha, ceria dan gembira dengan apa saja ketentuan Ilahi. Kesedihan dan kerisauan boleh menjejaskan kesihatan hati. Sedih dan risau juga merupakan tanda tidak redha dengan apa yang ditentukan Allah. Semestinya orang beriman yang dilanda musibah meyakini bahawa ada tiga keuntungan di sebalik ujian Allah ini iaitu, pembersih dosa-dosa mereka, janji berupa pahala di akhirat jika mereka redha dan yang ketiga mendapat pengganti sesuatu yang lebih baik dari apa yang diuji itu secepatnya di dunia ini:)




Firman Allah: ”Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu. Mereka telah ditimpa kemusnahan harta benda dan serangan penyakit serta digoncangkan oleh ancaman musuh, sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman yang ada bersamanya. Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ketahuilah sesunguhnya pertolongan Allah itu dekat.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 214)







dipetik daripada Facebook Ustaz Abdul Aziz Ismail Nuh

No comments: